Pemain pertahanan kanan Buriram United dan Harimau Malaya, Dion Cools semakin mendapatkan rentak cemerlang bersama kelabnya di Thailand.
Pada aksi 16 terakhir Piala FA Thailand baru-baru ini, Dion Cools yang diletakkan sebagai pemain utama berjaya membantu pasukannya untuk meraih kemenangan menumpaskan Chiangrai United.
Bintang berusia 28 tahun itu meledak gol deras umpama peluru pada minit ke-42 selepas menerima hantaran daripada Supachai Jaided.
Video gol tersebut telah dikongsikan oleh Buriram United di laman Youtube rasmi kelab.
Gol Cools itu menyalakan semula harapan Buriram dalam perlawanan tersebut selepas ketinggalan pada minit ke-17 menerusi pemain pertahanan Chiangrai, Jordan Emaviwe.
Perlawanan 90 minit berakhir dengan keputusan terikat 1-1 lalu memaksa perlawanan dilanjutkan ke 30 minit masa tambahan.
Goran Causic menjadi wira Buriram apabila meledak jaringan kemenangan pada minit ke-111 hasil sepakan penalti sekali gus membawa Buriram mara ke suku akhir Piala FA.
Jaringan Dion Cools itu merupakan jaringan keempat beliau bersama Buriram bagi saingan musim 2024/2025. Peranan yang dimainkan Cools di bahagian kanan Buriram nyata memberikan impak buat kelab gergasi Thailand itu dengan beliau turut merekodkan 8 bantuan gol setakat ini.