Gurauan pengurus legenda Portugal, Jose Mourinho tentang calon finalis Liga Europa UEFA (UEL) akhirnya menjadi kenyataan.
Pada Oktober 2024, bekas pengurus Chelsea itu ditanya siapa pasukan yang bakal mara ke pentas final kejohanan tersebut.
Lantas, Mourinho memberi jawapan berikut seperti dilaporkan Fabrizio Romano, “Dua calon untuk memenangi Liga Europa itu mudah: Manchester United dan Tottenham.”
Meskipun jawapan yang diberi jurulatih berusia 62 tahun itu hanya bersifat gurauan, tiada siapa menyangka ramalan Mourinho menjadi kenyataan.
United mara ke final selepas menyingkirkan wakil Sepanyol, Athletic Bilbao. Spurs pula meraih tiket final dengan mengatasi cabaran Bodo/Glimt.
Apa yang menarik ialah kedua-dua pasukan itu pernah dilatih Mourinho. Beliau melatih The Red Devils dari 2016 hingga 2018 dan Tottenham Hotspur (2019 hingga 2021).
Kedua-dua pasukan amat memerlukan kejayaan Liga Europa bagi menutup kemerosotan prestasi mereka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
United dan Spurs masing-masing di tangga ke-16 dan 17 liga. Ini selepas kedua-dua pasukan itu masing-masing menjadi mangsa West Ham dan Crystal Palace dalam aksi terbaru liga.
Selain itu, ini juga peluang buat Ruben Amorim dan Ange Postecoglou meraih trofi pertama bersama kelab masing-masing.