Dua kelab Korea Selatan, Gwangju FC dan Ulsan HD mempercepat proses penambahbaikan padang membabitkan Stadium Piala Dunia Gwangju dan Stadium Ulsan Munsu.
Isu kualiti padang yang teruk membabitkan dua stadium berkenaan bukan sekali mencetuskan rasa tidak puas hati pemain dan jurulatih pasukan berstatus pelawat.
Jurulatih interim Yokohama F. Marinos, John Hutchinson menyifatkan padang Stadium Piala Dunia Gwangju sebagai teruk. Pandangan itu dilontarkan selepas melihat pasukannya tewas 7-3 kepada Gwangju.
“Ada masalah dengan rumput (stadium). (Stadium Piala Dunia Gwangju) ini memang dipilih Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) (sebagai venue Gwangju).
“Tetapi saya lebih rela memohon maaf tentang keputusan perlawanan (kekalahan 7-3 di tangan Gwangju) daripada mengambil tanggungjawab tentang hal itu (isu padang),” katanya kepada Sports Chosun.
Jurulatih Gwangju, Lee Jung-hyo turut tidak berselindung tentang keadaan padang stadium berkenaan. “Tiada padang lebih teruk daripada Gwangju. Membuat perbandingan tentangnya ialah kerja sia-sia,” katanya.
Isu ini juga mengakibatkan kedua-dua pasukan itu diarah beraksi di venue alternatif untuk aksi ketiga Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) baru-baru ini.
Aksi Gwangju dan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) diadakan di Stadium Yongin Mireu. Manakala aksi Ulsan dan Vissel Kobe pula diadakan di gelanggang lama mereka, Stadium Ulsan.
Gwangju dan Ulsan berharap dapat kembali beraksi di stadium masing-masing untuk aksi kelima ACLE pada 26 dan 27 November. Gwangju bakal menentang Shanghai Shenhua dengan Ulsan pula menentang Shanghai Port.
Bagi memastikan kedua-dua stadium memenuhi piawaian yang ditetapkan AFC, kedua-dua kelab berusaha mempercepat proses penambahbaikan padang. Ini termasuk meletakkan rumput baru bagi memastikan mutu padang jauh lebih baik.
AFC dijangka menilai mutu padang Stadium Piala Dunia Gwangju dan Stadium Ulsan Munsu sebelum memutuskan sama ada ia dapat digunakan untuk aksi kelima ACLE.
Selain dua stadium berkenaan, AFC juga bakal membuat penilaian keadaan padang Pohang Steel Yard. Ini bagi memastikan stadium berkenaan boleh digunakan untuk aksi menentang Shandong Taishan pada 6 November ini.