Advertisements
Hadi Fayyadh Buka Langkah Dirisik Dua Kelab Jepun
Transfer
MakanBola
FA Malaysia

Penyerang PDRM FC, Hadi Fayyadh berkongsi detik awal menerima dua tawaran untuk beraksi di Jepun.

Pemain berusia 24 tahun itu telah pulang ke Malaysia untuk menyertai Perak FC pada musim lalu namun bergelut untuk mendapat tempat.

Beliau memutuskan untuk membawa haluan bersama PDRM FC dan mula mendapat minit permainan bersama kelab Lembah Klang itu.

Menerusi satu sesi audio siar bersama Koppa TV, bekas tonggak JDT itu berkongsi kisah awal yang telah membawanya untuk berkelana di Jepun.

“Semuanya bermula dari JDT lah. Saya pun terhutang budi dengan mereka. Itu titik permulaan saya mendapat minti bermain dan sebagainya.

“Akhirnya, ia membawa kepada panggilan bersama Malaysia B-18 yang beraksi dalam satu kejohanan (Sanix Cup) di Jepun. Sanix Cup antara pertandingan bawah umur terbesar di Jepun.

Persembahan cemerlang Hadi telah membuka mata pencari bakat Jepun yang akhirnya mendapat peluang untuk berkelana di sana.

“Semua pencari bakat ada di situ. Kami pergi sebagai Malaysia B-18 di bawah kendalian Bojan Hodak. Alhamdulillah, saya beraksi baik dan ada beberapa pencari bakat datang dan bertanya saya tentang keinginan beraksi di Jepun.

“Saya menjalani dua sesi percubaan bersama Roasso Kumamoto selama satu minggu bersama bapa saya. Percubaan kedua bersama Fagiano Okayama dan yang itu selama dua minggu,” jelasnya kepada Koppa TV.

Hadi menyertai Fagiano Okayama pada awal Februari 2019 sebelum dipinjamkan ke Azul claro Numazu sekitar tahun 2021.

Beliau kembali ke pangkuan kelabnya sebelum memutuskan untuk kembali ke Malaysia dan menyarung jersi Perak FC.

Penyerang tinggi lampai ini telah beraksi sebanyak tiga perlawanan musim ini dan berjaya menyumbang satu bantuan gol.