Penyerang PDRM FC, Hadi Fayyadh Abdul Razak dilaporkan mencuba nasib di Jepun.
Wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran memaklumkan penyerang berusia 25 tahun itu telah menjalani sesi percubaan bersama dua kelab J3 League.
“Penyerang PDRM, Hadi Fayyadh Abdul Razak difahamkan menjalani percubaan di Jepun bersama dua kelab J3 League,” katanya di X.
Sekiranya usaha beliau berhasil, bekas penyerang Perak FC itu akan berkelana ke Jepun buat kali kedua dalam karier permainannya.
Hadi Fayyadh bukan asing dengan Jepun kerana pernah mewakili Fagiano Okayama dan Azul Claro Numazu dari 2019 hingga 2022.
Ini bermakna PDRM berpotensi kehilangan seorang lagi tonggak bagi menghadapi baki musim 2025/26. Sebelum ini, mereka telah mengucapkan selamat tinggal kepada Henri Doumbia.
Dua lagi tonggak import, Ahmed Israiwah dan Fadi Awad juga dilaporkan dalam radar beberapa kelab Liga Super dan luar negara.
Hadi Fayyadh merekodkan tujuh penampilan dan satu bantuan gol selepas kembali menyertai PDRM pada September tahun lalu.