Musim yang sukar buat bekas penyerang kebangsaan, Hadi Fayyadh sejak bermulanya kendalian baharu dibawah jurulatih interim, Yusri Che Lah apabila beliau telah diturunkan ke pasukan Perak FC II bagi aksi Piala MFL.
Memetik laporan daripada wartawan Astro Arena, Karl Nunis menyatakan bahawa khidmat penyerang muda Perak itu tidak akan digunakan sepanjang pasukan dikendali oleh Yusri Che Lah bagi saingan Liga Super. Itu adalah keputusan muktamad yang telah dibuat jurulatih berusia 47 tahun itu.
Tambahnya, beliau menganggap bahawa Hadi Fayyadh masih belum bersedia untuk beraksi di Liga Super. Beliau mahu meningkatkan semula keyakinan dan sentuhan penyudah buat pemain berusia 25 tahun itu dengan beraksi di Piala MFL.
Namun setakat ini, beliau telahpun beraksi bersama Perak FC II sebanyak dua perlawanan dan berjaya mencatat satu jaringan. Ini adalah satu perkembangan yang positif buat penyerang muda ini.
Sebelum ini, dibawah kendalian bekas jurulatih Perak, Lim Teong Kim, beliau diberi kepercayaan penuh apabila telah diturunkan dalam 11 perlawanan awal saingan Liga Super. Namun, Hadi Fayyadh gagal mencatat sebarang jaringan mahupun bantuan jaringan.
Perak FC dijadualkan bertemu Kelantan United bagi perlawanan yang ke-17 bagi saingan Liga Super pada malam ini jam 9 malam.