Bekas penyerang skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23), Hadi Fayyadh Abdul Razak kembali menyertai PDRM FC.
Sebelum ini, wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi mendedahkan Hadi bakal melengkapkan perpindahan pinjaman dari Perak ke PDRM.
Kini, perpindahan penyerang berusia 24 tahun itu disahkan pengurusan The Cops menerusi satu pengumuman di platform media sosial rasmi mereka. Hadi akan kekal bersama pasukan itu sehingga akhir musim 2024/25.
“Tidak kira di mana anda berada, anda akan sentiasa disayangi. Selamat kembali,” kata pengurusan PDRM dalam satu hantaran video.
Hadi dijangka tidak berdepan masalah menyesuaikan diri dengan skuad PDRM. Ini kerana beliau pernah bersama pasukan itu secara pinjaman pada 2023.
Meskipun hanya beraksi selama sembilan perlawanan, Hadi bukan saja membantu The Cops menamatkan musim di tempat kelapan. Malah, beliau turut membantu pasukan itu bergelar juara MFL Challenge Cup 2023.
Hadi dijangka bersaing dengan Ifedayo Olusegun, Bruno Suzuki, Shahrel Fikri Md. Fauzi dan Syakimi Karim untuk slot serangan pasukan itu.