Bekas jaguh perseorangan lelaki Malaysia, Hafiz Hashim mengakui tidak akan menolak jika diberi peluang melatih pemain perseorangan negara.
Hasrat itu disuarakan bekas juara All England itu semasa menjadi tetamu program The BangMed Show baru-baru ini.
Buat masa ini, Hafiz masih lagi terikat dengan kontrak sebagai jurulatih kelab Suchitra di Hyderabad, India sehingga tahun hadapan.
Pada masa sama, beliau juga tidak menolak jika diberi peluang melatih pemain-pemain negara tanpa mengira acara atau tahap pemain.
“Bercakap tentang berkhidmat untuk pemain-pemain Malaysia, saya lebih suka sebab hati saya di tanah air saya, Malaysia kan.
“Jadi, kalau diberi peluang melatih tak kiralah pemain perseorangan wanita atau lelaki, (senior) atau junior, saya rasa saya akan balik,” katanya.
Selepas meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 2023, Hafiz pernah menggalas peranan sebagai jurulatih bekas pemain wanita nombor satu dunia, P.V. Sindhu.
Nama beliau turut dicanang antara calon yang berpotensi mengisi peranan jurulatih perseorangan wanita Malaysia. Ini selepas Hafiz dikesan berada di Akademi Badminton Malaysia (ABM) baru-baru ini.
Selain Hafiz, bekas pemenang pingat emas Sukan SEA 2015, Chong Wei Feng turut dicanang sebagai calon untuk posisi berkenaan.