Pelumba Johor Darul Ta’zim (JDT) Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah bakal menerima jentera baharu Ducati untuk pusingan kelima Asia Road Racing Championship (ARRC).
Perkara ini didedahkan pengurus pasukan JDT Racing Team, Razmin Masli berhubung jentera tersebut. Hafizh dan rakan sepasukan, Andi Farid Izdihar sudah mula menguji jentera Ducati Panigale V4R 7G sejak beberapa hari lalu di Cremona, Itali.
Razmin menyatakan jentera baharu itu memiliki kelainan di mana bahagian lengan ayun atau swing arm di belakang lebih mantap. Ini kerana bahagian tersebut kini menggunakan double arm berbanding single arm pada jentera yang digunakan ketika ini.
Selain itu, unit kawalan elektronik (ECU) juga telah dikemas kini mengikut spesifikasi jentera baharu berkenaan.
“Kalau nampak dari segi luaran, jentera nampak mantap berbanding dengan motosikal lama. Sebab perubahan paling besar ialah lengan ayun di bahagian belakang. Lengan ayun di bahagian belakang motor lama ialah single arm dan motor baru double arm.
“Untuk penggunaan konvensional, memang lebih baik secara keseluruhan terutama dari segi pengendalian. Sebab dengan single arm, kita kena lagi banyak analisis dan mencuba termasuk menggunakan data-data yang ada sebab single swing arm cukup sensitif kepada pengendalian.
“Jadi, double swing arm ini lebih sesuai untuk motosikal,” katanya kepada Nadi Arena.
Razmin turut memaklumkan kedua-dua pelumba turut memberi maklum balas positif berhubung jentera berkenaan. Input Hafizh dan Andi Farid akan digunakan untuk menambah baik jentera baharu itu.
“Input daripada pelumba sangat memberangsangkan, cuma perlukan pembaharuan daripada aspek eletronik yang perlu dilakukan,” tambahnya.
Sekiranya semua berjalan lancar, jentera Ducati Panigale V4R 7G bakal digunakan di pusingan kelima ARRC di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 11 hingga 13 September ini.