Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah berpeluang menjadi juara keseluruhan Asia Road Racing Championship (ARRC) untuk kategori Asian Superbike 1000 (ASB1000) lebih awal.
Kemungkinan ini berlaku kerana ARRC membuat pengiraan mata untuk senario Hafizh muncul juara dalam pusingan kelima kejohanan itu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Jurang mata antara beliau dan pelumba Jepun, Keito Abe ketika ini 44 mata. Jika Hafizh mahu bergelar juara selepas perlumbaan pertama ASB1000, jurang mata yang diperlukan ialah 75 mata.
Sekiranya Hafizh mahu bergelar juara selepas perlumbaan kedua pula, jurang mata yang diperlukan ialah 50 mata. Sekiranya salah satu daripada senario ini berlaku, beliau akan bergelar juara buat kali kedua berturut-turut.
Meskipun begitu, Hafizh dijangka berdepan cabaran sukar untuk perlumbaan pertama ASB1000 di Sepang. Hafizh bakal memulakan perlumbaan di tempat keempat selepas mengharungi sesi kelayakan.
Pelumba Jepun yang mewakili Forty Forged Asia Racing Team, Kaito Toba meraih petak utama. Abe dan Zaqhwan Zaidi masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Perlumbaan ARRC di Sepang juga berdepan cabaran cuaca hujan selepas hujan dilaporkan di beberapa kawasan trek ketika sesi kelayakan. Justeru, para pelumba termasuk Hafizh berharap cuaca baik muncul dalam perlumbaan pertama pada Sabtu.