Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah kembali bangkit dengan meraih podium dalam perlumbaan kedua Asia Road Racing Championship (ARRC) 2024 di Mandalika, Indonesia.
Selepas kecewa hanya meraih tempat ketujuh dalam perlumbaan pertama Asian Superbike 1000 (ASB1000) pada 27 Julai lalu, pelumba negara itu berazam untuk bangkit.
Antara perubahan yang dilakukan JDT Racing Team untuk membantu Hafizh bersaing mengubah pemilihan tayar untuk perlumbaan kedua.
Seperti perlumbaan pertama, pelumba bermula dari kedudukan yang diraih dalam sesi kelayakan pada 27 Julai lalu. Hafizh berada di kedudukan keempat di belakang dua pelumba Jepun, Soichi Minamimoto dan Yuki Kunii serta pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar.
Sebaik perlumbaan bermula, Hafizh menyaksikan dirinya berada di tangga ketujuh selepas dipintas pelumba-pelumba lain. Ini termasuk dua rakan senegara, Kasma Daniel Kasmayuddin dan Zaqhwan Zaidi.
Selepas bermula perlahan dalam beberapa pusingan awal, pelumba JDT Racing Team itu berjaya memintas Zaqhwan dan Nakarin Atiratphuvapat yang mewakili Honda Asia-Dream Racing with Astemo.
Nasib malang menimpa Yuki Kunii apabila terbabas ketika mendahului perlumbaan. Ini membuka ruang kepada Minamimoto dan Hafizh pantas merampas slot pendahulu dan kedua perlumbaan.
Meskipun cuba dicabar Andi Farid, Hafizh kekal konsisten untuk meraih kedudukan kedua. Sementara Minamimoto yang mewakili Yamaha Tekhne Racing Team ASEAN muncul juara perlumbaan kedua ASB1000.
Kejayaan ini dilihat pembakar semangat buat Hafizh menjelang pusingan kelima ARRC 2024 yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 13 hingga 15 September ini.