Advertisement
Hafizh Syahrin Sasar Podium Bersama JDT Racing Team
UltraSukan
UltraSukan
Johor Southern Tigers

Pelumba Johor Darul Ta’zim (JDT) Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah mensasarkan kedudukan podium dalam saingan Asia Road Racing Championship (ARRC) musim 2024.

Perkara ini dinyatakan pelumba berusia 29 tahun dalam sidang media khas JDT Racing Team di Iskandar Puteri hari ini.

Meskipun sesetengah peminat permotoran melihat langkahnya berkecimpung dalam ARRC musim ini ibarat turun pangkat, Hafizh tidak berfikir begitu.

Sebaliknya, beliau merasakan ARRC sebagai tempat permulaan buat beliau dan JDT Racing Team mengharungi pengembaraan yang hebat dalam dunia permotoran.

“Sebenarnya, ramai yang menetapkan harapan dan sasaran kepada saya kerana pengalaman saya (dalam MotoGP).

“Walaupun saya ada pengalaman tetapi bila saya beralih kepada Asia Pasific Racing Championship, ramai mengatakan saya turun pangkat. Pada saya, ini perjalanan bersama saya dan JDT.

“Ini bukan hanya individu saja yang melangkah ke depan tetapi tanpa pasukan, saya takkan berada di sini atau di kemuncak,” katanya.

Hafizh melihat dengan jentera Ducati yang ditunggangnya untuk kategori Asian Superbike 1000cc (ASB 1000), beliau percaya sasaran podium boleh dicapai.

Meskipun begitu, beliau melihat ramai pesaing yang berpotensi mencabar JDT Racing Team dalam saingan ARRC musim 2024.

Antara pelumba yang dijangka memberi saingan kepada Hafizh ialah juara ASB 1000 musim lepas, Markus Reiterberger, Zaqhwan Zaidi dan pelumba senior negara, Azlan Shah Kamaruzaman.

“Kita mesti pergi bersama dan cuba bersaing dengan sasaran kita pada tahun ini ialah sentiasa cuba berada di podium. Kalau kita boleh berjuang dapatkan kejuaraan, kita akan berjuang dapatkan kejuaraan.

“Dan sudah tentu kita ada pesaing. Kita ada TKKR yang gunakan BMW dan juga juara tahun lepas, Markus Reiterberger. Saya harap mereka dapat terus bersaing.

“Dan sudah tentu Zaqhwan (Zaidi), pelumba (berstatus) juara (2022). Inilah pesaing yang saya mahu bersaing di atas trek dan bagaimana kita nak menewaskan mereka.

“Sudah tentu Azlan Shah (Kamaruzaman) ialah senior saya dan beliau salah seorang pelumba yang kita patut berwaspada,” tambahnya lagi.

JDT Racing Team bakal memulakan saingan ARRC 2024 di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand pada 15 hingga 17 Mac ini.