Pelumba motosikal Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah berpotensi mendapat rakan sepasukan baru dalam pasukan JDT Racing Team.
Ini selepas nama pelumba Yamaha Tekhne Racing Team Asia, Kasma Daniel Kasmayudin dikhabarkan bakal menyertai pasukan itu.
Nama Kasma bukan asing dalam kalangan peminat sukan permotoran negara. Ini kerana pelumba berusia 23 tahun itu pernah bersaing dalam saingan Moto3 pada 2017 dan Moto2 (2020, 2022-2023).
Malah, Kasma juga antara pesaing Hafizh dalam saingan Asia Road Racing Championship (ARRC) 2024 untuk kategori Superbike 1000.
Apabila khabar itu diajukan kepada Kasma oleh wartawan Astro Arena, Faizal Bazari baru-baru ini, beliau menafikan perkara tersebut.
Pada masa sama, beliau bersedia mempertimbangkan prospek berlumba bersama pasukan besar kerana itu merupakan impiannya sebagai pelumba.
“Belum lagi. Saya tak dengar apa-apa lagi pasal JDT (Racing Team). Tak adalah apa-apa komunikasi dengan JDT. Cuma kalau ada peluang itu, alhamdulillah. Sebab itu impian saya juga,” katanya.
Kasma ketika ini menduduki tangga ke-10 keseluruhan kategori Superbike 1000 selepas mengutip 13 mata daripada dua perlumbaan.
Selepas ini, ARRC 2024 bakal kembali untuk pusingan ketiga yang akan diadakan di Motegi, Jepun pada 7-9 Jun ini.