Pelumba motosikal negara, Hafizh Syahrin Abdullah menafikan beliau menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) Racing Team kerana duit.
Malah, perkara ini dinyatakan beliau semasa mengadakan pertemuan dengan pengurusan JDT terutama ketua bahagian komersial Harimau Selatan, Kevin Ramalingam.
Bagi Hafizh, duit bukanlah keutamaan dalam kariernya sebagai pelumba motosikal negara. Ini kerana yang lebih penting ialah jentera motosikal yang akan ditunggangnya.
Hafizh melihat kesediaan JDT Racing Team menyediakan jentera hebat kepada dirinya sudah cukup untuk menjadi sebahagian daripada projek berkenaan.
“Sebenarnya, seperti yang saya katakan sebelum ini, saya tak pernah bersama pasukan (yang diuruskan secara profesional sebegini). Saya tak pernah minta gaji (yang mahal), saya hanya mahu berlumba.
“Ada satu masa, saya beritahu Kevin (Ramalingam), ‘Boleh tak dapatkan saya satu jentera yang hebat, itu saja yang saya minta.’ Jadi, kenapa saya pilih JDT? Sebab JDT boleh berikan apa yang saya mahu.
“Ini bukan soal duit atau gaji. Mentaliti JDT sentiasa ingin melakar kecemerlangan dalam industri bola sepak kini dibawa ke sukan-sukan lain seperti tinju dan sekarang futsal,” katanya dalam sidang media dan pengenalan jentera baru JDT Racing Team di Iskandar Puteri semalam.
JDT Racing Team bakal bersaing dalam kategori Asian Superbike 1000cc (ASB 1000), Asia Road Racing Championship (ARRC) musim 2024.
Kempen ARRC bakal dibuka di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand pada 15 hingga 17 Mac ini.