Advertisement
Hamidin: Skuad Malaysia B-22 Mampu Capai Sasaran Sukan SEA
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Dengan acara bola sepak lelaki Sukan SEA 2023 sudah bermula, semua mata tertumpu kepada Kumpulan B. Walaupun diletakkan bersama Thailand dan Vietnam dalam kumpulan berkenaan, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin percaya skuad B-22 negara mampu mencapai sasaran layak ke final temasya berkenaan.

Sebelum ini, sasaran yang ditetapkan FAM buat anak-anak buah E. Elavarasan ialah layak ke final temasya yang diadakan di Kemboja itu. Tetapi ada yang menganggap sasaran yang ditetapkan sebagai bercita-cita tinggi.

Tetapi Hamidin percaya ia boleh direalisasikan lebih-lebih lagi selepas mereka menjulang Piala Merlion di Singapura pada penghujung Mac lalu. Justeru, beliau berharap para pemain yang terpilih mampu menunjukkan prestasi terbaik.

“Menjelang aksi Sukan SEA 2023 nanti, saya berharap pemain-pemain dapat bersatu baik di dalam mahupun di luar padang.

“Saya faham Malaysia memiliki santun yang tinggi tetapi dalam masa yang sama saya mahu pemain-pemain tunjukkan apa itu negara Malaysia kepada orang ramai di mana Malaysia sebenarnya adalah sebuah negara yang sentiasa berjuang.

“Tidak kira siapa lawan kita nanti, paling mustahak kita fokus dan percaya kepada diri sendiri kerana saya sentiasa percaya kejayaan datang daripada pengorbanan dan disipilin tinggi,” katanya.

Anak-anak buah Elavarasan bakal bertolak ke Kemboja esok. Mereka akan beraksi dalam perlawanan kedua Kumpulan B menentang Laos di Stadium Visakha, Phnom Penh pada 3 Mei ini.