Penyerang muda Malaysia, Haqimi Azim Rosli berharap dapat meraih kemenangan ke atas musuh tradisi, Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan A ASEAN Championship 2024.
Harimau Malaya sedar aksi tersebut bukan saja memastikan slot separuh akhir ASEAN Championship selaku naib juara Kumpulan A.
Malah, ini juga peluang buat anak buah Pau Marti Vicente mengulangi kejayaan menewaskan The Lions dalam kejohanan sama edisi 2022.
Harimau Malaya meraih kemenangan 4-1 ke atas Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 3 Januari 2023. Stuart Wilkin, Darren Lok dan Sergio Aguero mencipta nama sebagai penjaring.
Singapura pula terpaksa berpuas hati dengan gol saguhati yang dijaringkan bekas penyerang Terengganu FC, Faris Ramli.
Haqimi yang turut beraksi dalam perlawanan tersebut berharap dapat membantu Malaysia meraih kemenangan diperlukan untuk layak ke separuh akhir.
“Saya harapkan kemenangan (bila) menentang Singapura. Kita nak layak ke peringkat seterusnya (separuh akhir ASEAN Championship 2024),” katanya seperti yang dilaporkan Harimau Malaya.
Penyerang berusia 21 tahun itu turut berharap Ekor Harimau Malaya dapat hadir beramai-ramai ke SNBJ untuk menyokong perjuangan skuad negara.
“Dan saya harap penyokong Malaysia dapat datang ke stadium dan penuhkan stadium serta sokong Harimau Malaya.
“Kita akan pamerkan persembahan sehabis baik (di atas padang) untuk perlawanan Jumaat nanti,” tambahnya lagi.
Sejak dipanggil menyertai Harimau Malaya untuk kempen ASEAN Championship 2022, Haqimi sudah merekodkan 11 penampilan, satu gol dan satu bantuan gol di peringkat antarabangsa.
Malaysia dan Singapura bakal berentap buat kali ke-76 di peringkat antarabangsa di SNBJ pada 20 Disember ini.