Penyerang muda Harimau Malaya, Haqimi Azim Rosli berharap penyokong skuad negara dapat hadir beramai-ramai ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 20 Disember ini.
Tarikh tersebut menyaksikan Malaysia bakal berentap dengan Singapura untuk aksi terakhir Kumpulan A ASEAN Championship 2024.
Pemenang aksi tersebut berpeluang mengiringi Thailand mara ke peringkat separuh akhir kejohanan berprestij di Asia Tenggara itu.
Sokongan padu Ekor Harimau Malaya amat berharga setiap kali Malaysia turun menentang musuh tradisi seperti Singapura.
Ini terbukti apabila 65,147 orang hadir di SNBJ untuk aksi Malaysia-Singapura dalam saingan peringkat kumpulan ASEAN Championship 2022. Aksi yang berlangsung pada 3 Januari 2023 itu berkesudahan dengan kemenangan 4-1 Harimau Malaya ke atas The Lions.
Darren Lok, Stuart Wilkin dan Sergio Aguero memacu skuad negara mara ke peringkat separuh akhir kejohanan edisi 2022. Penyerang BG Tampines Rovers, Faris Ramli menyumbat gol saguhati buat Singapura.
Atas sebab itu, Haqimi berharap aura sama dapat dihadirkan Ekor Harimau Malaya menjelang aksi ke-76 kedua-dua pasukan itu.
“Datanglah ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat ini menentang Singapura. Sokongan anda kami amat hargai. Datanglah dan penuhkan stadium pada hari Jumaat ini. Jadi, ayuh Malaysia!” katanya di Instagram.
Semakan terkini mendapati lebih 13,417 tiket aksi Malaysia dan Singapura sudah terjual. Penyokong yang masih belum mendapatkan tiket boleh mendapatkannya di sini.