Dengan Piala Asia 2023 berbaki beberapa bulan saja lagi, Qatar mula menggerakkan jualan tiket kejohanan itu dengan harga serendah 25 riyal Qatar (RM33).
Pengumuman ini dibuat oleh Ketua Bahagian Pemasaran & Promosi Piala Asia, Abdul Aziz Ali Almawlawi dalam satu sidang media hari ini.
Beliau melihat penetapan harga tersebut sebagai munasabah dan berpatutan memandangkan ramai penyokong yang bakal bertandang ke Qatar untuk aksi Piala Asia datang dari pelbagai negara.
Ini akan membantu penyokong untuk hadir ke stadium tanpa perlu bimbang kos tiket yang perlu ditanggung.
“Penjualan tiket (Piala Asia 2023) bakal dibuka esok, kita akan umumkan bila waktu ia akan dibuka. Kita ada empat kategori tiket termasuk tiket orang kelainan upaya (OKU) bersama peneman mereka.
“Seperti yang saya katakan dari awal, tiket akan dijual pada harga serendah 25 riyal Qatar (RM33). Ini akan beri peluang kepada semua orang datang (ke stadium) dan terbuka kepada semua baik warga Qatar mahupun pelancong antarabangsa,” katanya.
Berita ini dilihat satu berita baik kepada peminat bola sepak terutama dari Malaysia yang berhajat melihat Harimau Malaya beraksi di pusingan akhir Piala Asia 2023.
Piala Asia 2023 bakal berlangsung dari 12 Januari hingga 10 Februari 2024.