Bekas penyerang kebangsaan, Zaquan Adha percaya nasib Harimau Malaya akan menjadi lebih baik selepas ini melihat kepada percaturan dan kemenangan yang dicapai.
Skuad Harimau Malaya bimbingan Peter Cklamovski baru sahaja selesai mengharungi aksi pertama Kelayakan Piala Asia dengan menumpaskan Nepal di Stadium Sultan Ibrahim.
Dua jaringan daripada Hector Hevel dan Corbin Ong berjaya memastikan langkah kanan buat pasukan kebangsaan dalam perjalanan Malaysia untuk layak ke pentas Asia di Arab Saudi 2027.
Melihat kepada perkembangan positif ini, ramai pemerhati bola sepak termasuklah bekas pemain, Zaquan Adha yang melihat kejayaan ini sebagai satu permulaan positif untuk pasukan negara.
Menurut Zaquan, kekangan waktu untuk berkumpul bersama pada aksi kali ini antara cabaran namun pasukan kebangsaan tetap berhasil menampilkan satu persembahan yang positif.
Malah, bekas penyerang negara itu juga yakin skuad Harimau Malaya akan bertambah lebih baik selepas ini melihat kepada percaturan yang sedang diatur bagi menghadapi baki aksi di Kelayakan Piala Asia.
”Sebenarnya berdepan Nepal (tempoh hari) adalah aksi yang dinantikan, perlawanan pertama di bawah pengendali baharu dan adanya pemain-pemain baharu.”
“Kemenangan tetap kemenangan tetapi bagi saya Harimau Malaya selepas ini akan lebih baik,” ujar Zaquan Adha ketika rancangan Nindia Bola
“Kita faham perlawanan pertama dan tempoh mereka di kem latihan pun tidak lama tetapi positifnya kemenangan itu yang penting.”
”Permulaan yang baik dan saya pasti percaturan yang akan dibuat suatu hari nanti akan berikan keputusan yang positif buat skuad Harimau Malaya,” ujar Zaquan yang memiliki 88 kaps bersama pasukan negara.
Ujian seterusnya menanti pasukan negara adalah berdepan Vietnam di gelanggang sendiri pada 10 Jun hadapan dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan nanti.