Advertisement
Harimau Malaya Mahu Beri Hadiah Perpisahan Terbaik Buat Pau Marti
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Pemain tengah Harimau Malaya, Syamer Kutty Abba berharap dapat menjadikan Piala Mitsubishi Electric ASEAN (PMEA) 2024 sebagai hadiah perpisahan terbaik buat Pau Marti Vicente.

Kejohanan berprestij di rantau Asia Tenggara itu merupakan tugasan terakhir jurulatih Sepanyol itu bersama skuad senior Malaysia.

Ini kerana selepas ini, seorang jurulatih baru akan dilantik untuk memimpin Harimau Malaya untuk pusingan kelayakan Piala Asia 2027.

Syamer mengakui Pau Marti mempunyai jasa yang cukup besar sepanjang tempoh tiga tahun bersama Harimau Malaya. Antara pencapaiannya ialah membantu Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka 2024 dan layak ke Piala Asia 2023,

Justeru, Syamer melihat kejayaan meraih trofi PMEA buat kali kedua sejak 2010 dilihat hadiah terbaik buat pengendali berusia 41 tahun itu.

“Semua orang tahu Coach Pau sudah lama dengan skuad kebangsaan. Benda itu beri satu impak kepada kita semua. Tapi kita harap kita dapat bagi kejohanan ini sebagai hadiah perpisahan yang baik untuk dia.

“Apa yang dia sudah buat untuk pasukan kita, sumbangan dia (kepada Harimau Malaya). Saya harap ini medan terbaik untuk beri sesuatu kepada Coach Pau,” katanya kepada media hari ini.

Harimau Malaya mengetengahkan kombinasi pemain muda dan berpengalaman untuk menghadapi saingan PMEA 2024. Antara pemain yang dipilih Pau Marti ialah Syamer, Syafiq Ahmad, Dominic Tan, Paulo Josue, Fergus Tierney, Haykal Danish Mohd Haizon dan Haziq Aiman Mohd Esa.

Pengendali Sepanyol itu turut menamakan Syamer, Syafiq dan Dominic untuk menggalas peranan sebagai kapten sepanjang kejohanan.

Malaysia bakal membuka kempen PMEA 2024 dalam Kumpulan A dengan menentang Kemboja pada 8 Disember ini.