Hasrat menyaksikan Stadium Nasional Bukit Jalil full house bagi pertembungan separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 antara Malaysia dan Thailand pada Sabtu ini, nampaknya tidak akan menjadi kenyataan.
Ini kerana Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan hanya 59,000 tiket akan dijual untuk pertembungan blockbuster tersebut walaupun Stadium Nasional berkapasiti sekitar 80,000 tempat duduk.
“Ini berikutan sebanyak 21,000 tempat duduk terpaksa ‘dikosongkan’ kerana dihalang oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang sedang dalam proses pemasangan.
“Situasi ini tidak dapat dielakkan yang mana FAM dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah berusaha sedaya upaya mencari jalan penyelesaian terbaik dalam memastikan aksi skuad Harimau Malaya di sepanjang kempen Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 ini tetap dapat dilangsungkan di Stadium Nasional, berbanding jika ia diadakan di stadium lain yang berkapasiti lebih kecil,” menurut kenyataan oleh Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman.
Makan Bola difahamkan Konsert Jay Chou itu pada asalnya dijadual untuk diadakan di Stadium Nasional pada hari yang sama namun telah dipinda ke 15 Januari.
Noor Azman berharap meskipun lebih 25,000 tempat duduk terpaksa dikorbankan, ia tidak mengendurkan sokongan padu penyokong yang pastinya akan menjadi azimat berguna buat Harimau Malaya.
Dalam pada itu, FAM turut ingin menasihati para penyokong supaya berhati-hati dengan pembelian tiket selain daripada secara dalam talian di www.tickethotline.com.my.
“Ini kerana, bagi perlawanan menentang Singapura semalam, FAM telah mendapati bahawa terdapat penjualan tiket palsu. FAM berharap perkara sedemikian tidak akan berlaku pada perlawanan separuh akhir pertama ini dan tindakan keras akan diambil terhadap pelaku,” kata Noor Azman lagi.
Terdahulu, FAM memutuskan untuk mengekalkan harga sama seperti perlawanan peringkat kumpulan bagi tiket separuh akhir iaitu RM30 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 6-12 tahun) bagi tempat duduk Terbuka, RM50 bagi tempat duduk Premium dan RM60 bagi tempat duduk Grandstand.
Keputusan itu dibuat secara sebulat suara selepas Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin mempengerusikan mesyuarat khas bersama Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM di stadium sejurus selepas perlawanan Harimau Malaya menentang Singapura, pada Selasa.