Hashim Mustapha Hilang Kaki Kiri
Liga Super
Advertisements

Hashim Mustapha, nama ikonik yang tidak perlukan pengenalan dalam arena bolasepak tempatan.

Ketika penyerang import mula mendominasi Liga Malaysia era 90-an, Hashim Mustapha adalah salah seorang penyerang tempatan yang boleh berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan mereka.

Ketajaman penyudah serta ‘killer-instinct’ yang ada pada dirinya menyaksikan Hashim Mustapha dilabel antara penyerang terbaik pernah disaksikan penyokong bolasepak tempatan.

Advertisements

Beliau memberi justifikasi kepada sentuhan berbisanya itu apabila dua kali bergelar penjaring terbanyak saingan Liga Perdana Satu (saingan elit Liga Malaysia 90-an) pada tahun 1993 (13 gol) dan 1994 (29 gol), kedua-duanya ketika bersama Kelantan.

Malang sekali, kini kakinya yang lincah menari-nari di atas padang memukau ramai, bisa menghadirkan gerun kepada lawan, terpaksa dipotong.

Hashim Mustapha kehilangan kaki kirinya pada Rabu lalu, setelah menjalani pembedahan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), kerana saluran darah tersumbat akibat jangkitan kuman sejak Mac lalu.

Advertisements

Beliau terjatuh motor ketika dalam perjalanan untuk mengendalikan sesi latihan skuad Tok Janggut Warriors dan keadaanya waktu itu mendapat perhatian banyak pihak.

“Beliau dimasukan ke hospital bagi mendapatkan rawatan sebab kesan luka pada pergelangan kaki akibat jatuh motor Mac lalu, menjadi semakin serius memandangkan beliau juga ada penyakit kencing manis.

“Saluran darah pada kaki tersumbat dan bagi mengelakkan kemudaratan, maka pembedahan pemotongan kaki dari bawah lutut terpaksa dilakukan,” kata isterinya Zaheran Hussein kepada Bernama.

Advertisements

Sebagai rekod, sepanjang menabur bakti bersama Kelantan, Hashim Mustapha pernah mendakap Piala Emas Raja-Raja dan Piala Agung.

Beliau bagaimanapun gagal membantu Kelantan meraih sebarang trofi utama Liga Malaysia – Liga, Piala FA dan Piala Malaysia, meskipun mara hingga ke separuh akhir Piala Malaysia pada 1993, tewas kepada Kedah.

Hashim kemudiannya beralih angin ke utara tanah air, selepas menyumbang 11 gol untuk Kelantan pada 1995, dengan memilih untuk menyarung jersi Kedah selama 2 musim (1996/1997) yang ketika itu diperkuatkan Radhi Mat Din, Andre Luis Nascimento dan Mamadou Maryam.

Advertisements

Musim pertama di Kedah, Hashim membantu Kedah muncul Juara Piala FA buat pertama kali, menewaskan Sarawak 1-0 di final, dan selepas berkelana dua tahun, Hashim kembali berbakti kepada Kelantan pada 1998.

Nyata, bisa sentuhan Hashim tidak pudar pada usia mencecah 32 tahun, apabila membantu Kelantan yang turut dibarisi pemain seperti Zahasmi Ismail dan Wong Kah Loon menduduki tangga ketiga Liga Perdana Dua, malah masih menjadi kegilaan peminat bola sepak Kelantan yang merindui kelibat lagenda mereka itu.

Gara-gara selisih faham dengan pengurusan yang ketika itu diterajui Datuk Wan Hashim Wan Daud, Hashim sekali lagi membawa diri, kali ini ke Johor, dan membantu pasukan itu muncul juara Liga Perdana 2, seterusnya dinaikkan ke Liga Perdana Satu.

Rindu terhadap tanah kelahiran tidak pernah pudar dalam dirinya, dan pada 2000, Hashim memilih untuk menyarung jersi pasukan kelab, JKR Kelantan bersama Adnan Musa dan Rosli Rejab dan membantu pasukan itu menyerlah dalam Liga Perdana Dua, sebelum dipancing pula TNB Kelantan pada tahun berikutnya.

Selepas bersara, beliau terjun ke arena kejurulatihan dan pernah membimbing skuad Piala Presiden Kelantan selama beberapa musim, selain membimbing pasukan Liga FAM malah pernah dilantik sebagai penolong jurulatih pasukan Kelantan pada 2010 sehingga 2012.

Beliau kali terakhir menjadi ketua jurulatih pasukan Tok Janggut Warriors FC yang beraksi dalam Liga M3.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram