Arena bolasepak tanah air hari ini menerima perkhabaran duka, apabila bekas penyerang terbilang Hashim Mustapha menghembuskan nafas terakhir selepas beberapa hari bertarung nyawa di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
Hashim Mustapha yang menjalani pembedahan memotong kaki kiri pada bulan lalu telah menerima rawatan di HUSM sejak 25 November berikutan keadaan jantungnya yang lemah dan tidak stabil, sehingga terpaksa ditidurkan.
Keadaan beliau bertambah kritikal pada Selasa, dan beliau menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga kira-kira jam 10.20 malam tadi.
Salam takziah daripada kami di MakanBola kepada seluruh ahli keluarga beliau, semoga dosanya diampuni dan diangkat rohnya ke arasy tertinggi.
Bagi penyokong bolasepak tanah air, Hashim Mustapha adalah nama ikonik yang tidak perlukan pengenalan.
Ketika penyerang import mula mendominasi Liga Malaysia era 90-an, Hashim Mustapha adalah salah seorang penyerang tempatan yang boleh berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan mereka.
Ketajaman penyudah serta ‘killer-instinct’ yang ada pada dirinya menyaksikan beliau dilabel antara penyerang terbaik pernah disaksikan dalam kancah bolasepak tempatan.
Beliau memberi justifikasi kepada sentuhan berbisanya itu apabila dua kali bergelar penjaring terbanyak saingan Liga Perdana Satu (saingan elit Liga Malaysia 90-an) pada tahun 1993 (13 gol) dan 1994 (29 gol), kedua-duanya ketika bersama Kelantan.
Sepanjang menabur bakti bersama Kelantan, Hashim Mustapha kempunan menjulang trofi utama tetapi pernah mendakap Piala Emas Raja-Raja dan Piala Agung.
Selepas menyumbang 11 gol bersama Kelantan pada 1995, beliau kemudiannya beralih angin ke utara tanah air, dengan memilih untuk menyarung jersi Kedah selama 2 musim (1996/1997) yang ketika itu diperkuatkan Radhi Mat Din, Andre Luis Nascimento dan Mamadou Maryam.
Musim pertama di Kedah, Hashim membantu Kedah muncul Juara Piala FA buat pertama kali, menewaskan Sarawak 1-0 di final, dan selepas berkelana dua tahun, Hashim kembali berbakti kepada Kelantan pada 1998.
Nyata, bisa sentuhan Hashim tidak pudar pada usia mencecah 32 tahun, apabila membantu Kelantan yang turut dibarisi pemain seperti Zahasmi Ismail dan Wong Kah Loon menduduki tangga ketiga Liga Perdana Dua.
Selepas itu beliau membawa diri sekali lagi, kali ini ke Johor pada 1999, dan membantu pasukan itu muncul juara Liga Perdana Dua, seterusnya dinaikkan ke Liga Perdana Satu.
Rindu terhadap tanah kelahiran tidak pernah pudar dalam dirinya, dan pada 2000, Hashim memilih untuk menyarung jersi pasukan kelab, JKR Kelantan bersama Adnan Musa dan Rosli Rejab dan membantu pasukan itu menyerlah dalam Liga Perdana Dua, sebelum dipancing pula TNB Kelantan pada tahun berikutnya.
Selepas bersara, beliau terjun ke arena kejurulatihan dan pernah membimbing skuad Piala Presiden Kelantan selama beberapa musim, selain membimbing pasukan Liga FAM malah pernah dilantik sebagai penolong jurulatih pasukan Kelantan pada 2010 sehingga 2012.
Beliau kali terakhir menjadi ketua jurulatih pasukan Tok Janggut Warriors FC yang beraksi dalam Liga M3.