Usaha Indonesia untuk menjadikan Maarten Paes sebagai pemain warisan terbaru mereka dijangka berdepan kesukaran.
CNN Indonesia melaporkan usaha ini berdepan kesukaran kerana Paes pernah beraksi untuk skuad Belanda Bawah 21 Tahun (B-21).
Mengikut peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), mana-mana pemain boleh mewakili pasukan kebangsaan baru sebelum berusia 21 tahun.
Perubahan ini dengan syarat mereka tidak membuat penampilan dalam perlawanan rasmi antarabangsa baik untuk pasukan pelbagai umur mahupun untuk pasukan senior.
Penjaga gol FC Dallas itu diturunkan dalam perlawanan kelayakan Kejohanan Bola Sepak Eropah (EURO) B-21 menentang Belarus pada tahun 2021.
Pada ketika itu, Paes berusia 22 tahun dan mewakili skuad kedua FC Utrecht, Jong Utrecht. Perlawanan tersebut berkesudahan dengan kemenangan besar 5-0 buat skuad muda Belanda.
Situasi ini bakal menyukarkan urusan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) untuk merekrut Paes.
Meskipun sedar dengan isu ini, Ahli Jawatankuasa Eksekutif PSSI, Arya Sinulingga melihat isu ini tidak menggugat usaha Indonesia untuk menjadikan beliau sebagai pemain warisan seterusnya.
“Banyak isu yang berlegar mengenai Maarten Paes. Mungkin ada pemerhati bola sepak yang mengatakannya. Kami akan meluruskannya.
“Ya, memang ada halangan kerana pada usia 22 tahun, dia masih bermain untuk salah satu negara anggota FIFA (Belanda). Tetapi PSSI ketika ini masih dalam proses mendapatkan warganegara Indonesia (WNI) untuk Paes.
“Selepas itu, langkah seterusnya boleh dijalankan. Jadi, peringkat sama ada kita perlu berunding atau apa sahaja yang dipanggil atau menjalankan proses yang mengikut peraturan FIFA, kita akan jalankan.
“Tetapi dengan syarat Paes mesti terus diproses sehingga menjadi WNI. Kerana kami PSSI hanya boleh mengambil langkah selanjutnya dalam urusan kepada FIFA untuk mencabar peraturan yang mereka ada dengan cara Paes menjadi WNI.
“Jika tidak, kami tidak mempunyai hak lagi untuk berbuat demikian,” katanya seperti yang dilaporkan CNN Indonesia.
Paes memiliki darah keturunan Indonesia dari sebelah neneknya yang berdarah Maluku. Sejak Januari lalu, beliau sibuk melengkapkan proses yang diperlukan untuk menjadi WNI.
Paes telah merekodkan lebih 70 penampilan bersama FC Dallas. Mengikut data Transfermarkt, beliau dibolosi 75 kali dan memiliki rekod tanpa bolos sebanyak 17 kali.