Ramai penyokong Harimau Malaya berharap Safawi Rasid dapat membantu Ratcaburi layak ke final Thai League Cup. Malangnya, impian tersebut lebur apabila The Dragons tumbang 2-1 kepada BG Pathum United dalam satu lagi aksi separuh akhir kejohanan itu hari ini.
Dengan Buriram sah layak ke final selepas menewaskan PT Prachuap, kedua-dua pasukan pastinya mahu menghalang impian treble Thunder Castle. Atas sebab itu, The Rabbits dan Ratchaburi mengetengahkan kesebelasan utama yang mantap untuk perlawanan ini.
Separuh masa pertama menyaksikan persaingan sengit kedua-dua pasukan memburu gol pembukaan. Tetapi BG Pathum terlebih dahulu di hadapan menerusi penyerang Thai-Sweden, Patrik Gustavsson pada minit ke-15.
Bagaimanapun, keraian tuan rumah terhenti pada minit ke-29 apabila Pathomcai Sueasakul menyamakan kedudukan untuk pelawat. Bola sepakan dari luar kotak penalti yang diambil Safawi terkena tiang tetapi mudah disempurnakan Pathomcai menewaskan penjaga gol Kittipong Phuthawchueak.
Dengan keputusan seri 1-1 pada rehat separuh masa, The Rabbits mengasak pertahanan The Dragons pada separuh masa kedua. Hasilnya, penyerang berbisa Thailand, Teerasil Dangda memastikan kemenangan tuan rumah menerusi gol pada minit ke-63.
Kemenangan ini memastikan The Rabbits layak ke final pada 20 Mei ini. Dan BG Pathum kini menjadi satu-satunya halangan buat bek tengah Harimau Malaya, Dion Cools untuk membantu Buriram mencipta pencapaian treble untuk musim 2022-2023.