Bekas jurulatih skuad remaja negara, Hatem Souissi kini menjadi sebahagian daripada struktur kejurulatihan skuad Vietnam.
Ini selepas Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) membawanya sebagai penolong jurulatih kepada Philippe Troussier untuk skuad senior dan skuad B-23 Vietnam.
Perlantikan ini telah dibuat sejak penghujung Ogos lalu bagi membantu Golden Star Warriors mendepani kalendar antarabangsa FIFA pada September.
Souissi dibawa masuk menggantikan bekas jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel yang sebelum ini memainkan peranan sebagai penolong jurulatih Troussier.
Gamel meninggalkan skuad Vietnam selepas menerima tawaran penolong jurulatih Mile Sterjovski di kelab A-League, Macarthur.
Souissi bukan asing kepada Troussier kerana pernah menjadi pembantu beliau semasa menjadi jurulatih Qatar dan kelab China, Hangzhou Greentown.
Selain skuad remaja Malaysia, jurulatih kelahiran Tunisia itu pernah melatih Negeri Sembilan FC, Al-Wahda (Emiriah Arab Bersatu (UAE)) dan Busaiteen Club (Bahrain).
Pengalaman Souissi turut ditagih sebagai pengarah teknikal di beberapa buah kelab dan pasukan kebangsaan. Antara pasukan yang pernah mendapat kepakaran beliau ialah Mongolia, Al-Shabab (UAE) dan Al-Wahda (UAE).
Sentuhan magis Souissi sudah mula memberi kesan positif kepada Vietnam apabila mereka berjaya menewaskan Palestin 2-0 dalam aksi persahabatan pada 11 September lalu.
Selain jurulatih berusia 68 tahun itu, Troussier turut dibantu Moulay Azzeggouarh dari Maghribi dan jurulatih kecergasan dari Perancis, Cedric Roger.