Prestasi luar biasa cemerlang ditunjukkan ketika membantu Argentina muncul juara Piala Dunia Qatar 2022 minggu lalu, menjadikan nama Alexis Mac Allister meletup dan menjadi buah mulut ramai.
Pemain tengah Brighton itu tidak beraksi ketika tewas mengejut dalam aksi pembukaan menentang Arab Saudi, tetapi bermain dalam kesebelasan utama dalam kesemua enam perlawanan berikutnya.
Bukan setakat dianggap sebagai tonggak utama, malah Mac Allister juga dilabel sebagai salah seorang pemain terbaik di Qatar sehingga ada yang berpendapat sudah tiba masa dia bermain dengan kelab yang lebih besar dan bereputasi tinggi.
Ini pantas mengundang spekulasi liar, dengan pemain berusia 23 tahun itu dikatakan akan menjadi sasaran terbaru gergasi EPL, Chelsea yang ketika ini terdesak mahu memperbaiki prestasi.
Kenapa Chelsea, dan bukannya kelab lain? Ini kerana sejak dibeli oleh Todd Boehly pada bulan Mei lalu, Chelsea dilihat telah menunjukkan minat yang tinggi kepada pemain dan staff belakang tabir kelab itu.
Ketika pasaran perpindahan musim panas lalu, mereka telah mendapatkan khidmat Marc Cucurela dengan nilai £62 juta selain pemain muda Zak Sturge juga dari Brighton.
Kemudiannya pada bulan September, Chelsea membawa masuk pula pengurus Brighton, Graham Potter sebagai pengganti kepada Thomas Tuchel, sebelum ‘merembat’ pengarah kelab itu Paul Winstanley pada bulan November.
Dengan Potter diketahui mempunyai hubungan baik dengan bekas pemain bimbingannya di Brighton, beberapa lagi pemain mula dikaitkan termasuklah Robert Sanchez, Moises Caicedo, Leandro Trossard, Pascal Gross serta kemungkinan mendapatkan semula Tariq Lamptey dan kini Mac Allister masuk ke dalam senarai itu.
Brighton setakat ini tetap menyerlah meskipun telah kehilangan tonggak utama mereka, menduduki tangga ketujuh malah sebelum EPL berehat mereka membelasah Chelsea 4-1.
Dalam pada itu, pengurus Brighton, Roberto De Zerbi menyifatkan Mac Allister sebagai aset berharga skuadnya.
“Saya rasa dia adalah seorang daripada pemain terbaik pada Piala Dunia, gaya permainannya sangat jelas, dia tidak membuat kesilapan, dia faham apa yang perlu dibuat sebelum bermain.
“Saya menghantar banyak mesej kepadanya. Saya sangat gembira buatnya dan juga kami, untuknya ada dua minggu cuti dan kami akan menantinya untuk kembali menyertai skuad.
“Selepas sebulan di Piala Dunia ketika dia perlu kuat kerana tekanan dan emosi, dia perlu berehat. Jadi, kami akan menggunakan pemain lain ketika dia tiada,” ujar De Zerbi.