Pemain tengah muda Selangor FC, Haykal Danish Mohd Haizon mengakui impiannya ialah membuat penampilan pertama bersama Harimau Malaya.
Haykal Danish terpilih dalam kalangan 38 pemain dipanggil Peter Cklamovski untuk kem Harimau Malaya.
Selain beliau, jurulatih Australia itu turut memanggil pemain muda lain seperti Aiman Hakimi Othman, Alif Ahmad, Shafizan Arshad, Fergus Tierney, Ubaidullah Shamsul Fazili dan Muhammad Abu Khalil.
Haykal mengakui rasa bangga kerana dapat mengikuti kem Harimau Malaya buat kali kedua dalam kariernya.
Beliau berharap penyertaan kali ini dapat membantunya meraih tempat dalam skuad Harimau Malaya selepas ini.
“Rasa sangat bangga alhamdulillah kerana terpilih buat kali kedua. Saya akan buat lebih baik,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam.
“Kem latihan kali pertama merupakan percubaan bagi saya untuk tunjukkan kepada jurulatih. Dan kali ini, Insya Allah saya akan buat yang terbaik untuk dapatkan (tempat) dalam skuad.”
Ini bukan kali pertama Haykal Danish dipanggil menyertai kem Harimau Malaya. Sebelum ini, beliau pernah dipanggil menyertai kem pasukan itu di New Zealand pada Oktober 2024.