Selepas menyertai enam tahun berbakti bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), penyerang berbisa, Ahmad Hazwan Bakri telah memberi bayangan meninggalkan pasukan tersebut.
Dalam satu muatnaik di Instagram Story, Hazwan telah mengucapkan terima kasih kepada JDT dan juga telah memuat naik foto-foto beliau ketika menyarung jersi Harimau Selatan itu.
Musim ini bukanlah musim yang baik buat Hazwan Bakri bersama JDT apabila beliau tidak merasai aksi bersama skuad utama kendalian Esteban Solari dalam kesemua pertandingan domestik dan juga pentas Liga Juara-Juara AFC.

Aksi Hazwan hanya kelihatan bersama JDT II dalam saingan Piala MFL di mana beliau diturunkan dalam lima perlawanan dan berjaya meledak dua jaringan.
Berbeza dengan musim 2022 yang menyaksikan khidmat Hazwan masih digunakan bersama skuad utama JDT di mana beliau telah diturunkan dalam 7 perlawanan dan berjaya menjaringkan dua gol.
Ke manakah hala tuju Hazwan Bakri musim hadapan? Segalanya terpulang kepada pemain berusia 32 tahun itu. Beberapa pasukan dikatakan berminat untuk membawa masuk bekas penyerang Harimau Malaya itu bagi saingan 2024.