Hazwan Bakri Kembali Ke KL City
MakanBola
KL City FC

Bekas penyerang kebangsaan, Hazwan Bakri kembali menyertai pasukan pertamanya, Kuala Lumpur City FC (KL City FC).

Perpindahan penyerang berusia 35 tahun itu diumumkan pengurusan The City Boys menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi pasukan itu.

“Hazwan Bakri kini rasmi menyertai KL City FC bagi musim 2026/2027. Sebuah babak baharu bermula. Seorang pemain baharu City Boy telah tiba,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Pengumuman ini sekali gus mengesahkan khabar angin perpindahan yang dikongsikan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam pada Julai lalu.

Beliau memaklumkan Hazwan yang mesra disapa Jack akan kembali ke Lembah Klang selepas beberapa musim bersama Kuching City FC.

Bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tiba dengan rekod sebagai pemenang trofi dalam kariernya sebagai pemain profesional. Hazwan pernah memenangi Liga Super, Piala Sumbangsih, Piala Malaysia, Piala FA, Liga Perdana dan MFL Challenge Cup.

Beliau bukan asing dengan KL City kerana pernah beraksi untuk Kuala Lumpur (nama lama KL City) dari 2009 hingga 2011. Hazwan merekodkan 72 penampilan dan 17 gol.

Musim terakhirnya menyaksikan Hazwan dipinjamkan ke pasukan Harimau Muda A yang ketika itu beraksi di liga Singapura.

Bekas penyerang kebangsaan itu dijangka bukan satu-satunya pemain baharu yang menyertai KL City. Zulhelmi memaklumkan dua bekas pemain Sabah FC, Gary Steven Robbat dan S. Kumaahran juga dilaporkan akan menyertai pasukan itu.

Pengurusan KL City turut mengekalkan 12 pemain untuk kempen musim 2026/27. Antara tonggak yang dikekalkan ialah kapten Harimau Malaya, Paulo Josue, Giancarlo Gallifuoco, Kamal Azizi Mohamad Zabri dan Zhafri Yahya.