Khabar angin timbul berkenaan 10 orang pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Hector Bidoglio bakal tinggalkan pasukan.
Pasukan milik DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor difahamkan bakal melakukan rombakan besar-besaran menjelang saingan Liga Malaysia pada musim akan datang.
Beberapa tonggak utama skuad Harimau Selatan ini dijangka bakal meninggalkan pasukan tatkala terdapat khabar angin melibatkan pemain import dan juga jurulatih, Hector Bidoglio.
Menerusi makluman oleh pemerhati bola sepak Johor, Juan Budiman, seramai 10 orang pemain bakal meninggalkan JDT termasuklah Hector Bidoglio setelah berakhirnya musim ini.
”Sebaik saja anda menjadi sebahagian daripada JDT, anda adalah sebahagian daripada sebuah keluarga,” tulis Juan Budiman.
“Terima kasih dan semoga terus maju jaya,” ujar beliau sambil memuat naik foto 10 pemain berkenaan dan Hector Bidoglio.
Berdasarkan foto tersebut, 10 pemain itu adalah Jordi Amat, Shane Lowry, Murillo Henrique, Jese, Enzo Lombardo, Alvaro Gonzalez, Jonathan Viera, Anselmo Moraes, Jalil Elias dan Jorge Obregon.
Sehingga kini masih belum ada pengesahan rasmi mahupun pengumuman dari kelab JDT mengenai penghijrahan keluar 10 pemain dan juga Hector Bidoglio ini.