Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio memuji kesungguhan barisan pertahanan lawan mereka, Terengganu FC dalam aksi separuh akhir pertama Unifi Piala Malaysia.
JDT selangkah ke final apabila meraih kelebihan 4-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA). Romel Morales, Arif Aiman Hanapi dan Bergson da Silva mencetak nama sebagai penjaring.
Meskipun begitu, tiga gol Harimau Selatan hanya terhasil pada minit-minit akhir separuh masa kedua. Ini berlaku disebabkan kesungguhan barisan pertahanan Terengganu mempertahankan gawang mereka.
Kesungguhan barisan pertahanan Peteh yang dibarisi pemain-pemain tempatan mengekang asakan JDT membuatkan Bidoglio kagum.
“Pada pendapat saya, mereka bermain dengan bagus. Tapi semua fokus saya tumpukan kepada pasukan saya dan pemain-pemain saya,” katanya selepas perlawanan.
“Pemain-pemain mempamerkan persembahan yang bagus, ia satu perlawanan yang sukar. Dan saya pasti perlawanan seterusnya bukan saja berbeza tetapi juga sukar.”
JDT kini mengalihkan fokus untuk persiapan aksi Liga Super menentang Terengganu pada 25 Januari ini. Ini disusuli aksi separuh akhir kedua menentang lawan sama pada 1 Februari ini.