Selepas Jon Irazabal, Hector Hevel disebut sebagai bintang warisan baharu yang akan menyertai kem latihan Harimau Malaya.
Nama pemain tengah berusia 28 tahun itu menjadi sebutan peminat bola sepak negara selepas kelabnya, Portimonense mengumumkan beliau bakal menerima panggilan skuad Malaysia.
Selain Hevel, kelab divisyen dua Portugal itu turut mengumumkan Tamble Monteiro dan Kristofer Kait masing-masing menerima panggilan menyertai skuad Guinea-Bissau dan Estonia Bawah 21 Tahun (B-21).
Hevel mampu beraksi sebagai pemain tengah atau tengah menyerang jika diperlukan. Graduan akademi Den Haag itu juga pernah beraksi untuk AEK Larnaca, FC Cartagena dan FC Andorra.
Beliau juga memiliki pengalaman beraksi di Asia. Ini kerana sebelum ini, Hevel pernah beraksi untuk kelab China League One, Guangxi Pingguo Haliao dari 2024 hingga 2025.
Selepas menyertai Portimonense pada Februari lalu, beliau sudah merekodkan lima penampilan dan satu bantuan gol setakat ini.
Kehadiran beliau dijangka menambah lebih banyak pilihan buat jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski di bahagian tengah.