Pemain tengah Harimau Malaya, Hector Hevel hampa apabila pasukannya, Portimonense tewas 3-2 kepada FC Vizela dalam aksi terbaru Liga Portugal 2.
Selepas tewas dua perlawanan berturut-turut, pasukan yang diberi jolokan Alvinegros itu ingin bangkit segera. Ini kerana jurang mata Portimonense dengan kelompok tiga pasukan tercorot liga semakin berkurangan.
Atas sebab itu, pengendali Portimonense, Ricardo Pessoa menurunkan barisan terkuat untuk menghadapi cabaran Vizela.
Alvinegros meraih gol pendahuluan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Tamble pada minit keenam. 11 minit selepas itu, Vizela menyamakan kedudukan menerusi Vivaldo Semedo.
Selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga rehat, Pessoa memasukkan Hevel pada separuh masa kedua.
Pemain tengah berusia 28 tahun itu mencipta impak segera dengan membuat hantaran yang mudah disudahkan Camilo Duran pada minit ke-55.
Vizela sekali lagi bangkit menyamakan kedudukan menerusi Ricardo Schutte pada minit ke-76. Aleksandar Busnic muncul wira tuan rumah dengan meledakkan gol kemenangan pada minit akhir perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Vizela terus menghambat pendahulu liga, Tondela dengan 37 mata. Alvinegros pula kekal dengan 30 mata, lapan mata dipisahkan dengan Porto B yang menduduki tempat ke-16.
Hevel dan Portimonense berharap dapat mengakhiri kemarau kemenangan apabila menentang Oliveirense pada 6 April ini.