Negeri Sembilan FC mendapat khabar gembira apabila pemain sayap Myanmar, Hein Htet Aung kembali memperkuatkan pasukan itu.
Sebelum ini, pemain sayap berusia 23 tahun itu tidak dapat menyertai Sang Rusa apabila saingan Liga Super kembali bersambung pada 5 April lalu.
Ini disebabkan Htet Aung terkandas di Myanmar susulan gempa bumi yang melanda negara itu pada penghujung Mac lalu. Situasi itu turut menyebabkan beliau berdepan masalah dokumentasi.
Lantaran itu, Negeri Sembilan tidak dapat menggunakan khidmatnya dalam aksi liga menentang Penang FC pada 5 April lalu.
Kehadiran semula Htet Aung dalam sesi latihan di Kota Bharu baru-baru ini dilihat menambah kekuatan Sang Rusa di bahagian sayap.
Selain bekas pemain sayap Hanthawaddy United itu, Negeri Sembilan turut mendapat kembali pemain pertahanan, Zainal Abidin Jamil.
Bek tengah berusia 25 tahun itu terlepas aksi menentang Sang Harimau Kumbang kerana menjalani penggantungan satu perlawanan.
Kehadiran semula dua tonggak ini amat ditagih Negeri Sembilan untuk meraih kemenangan buat kali pertama sejak 26 Februari lalu.
Sang Rusa bakal berentap dengan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) di Kota Bharu pada 13 April. Aksi ini juga medan balas dendam buat Negeri Sembilan selepas tewas kepada lawan sama pada September 2024.