Selepas mewarnai V. League 1 dengan Hanoi FC pada separuh kedua 2023, penyerang Brazil, Herlison Caion kembali berkelana.
Bekas penyerang Selangor FC itu memilih kelab Thai League 1, Trat FC sebagai kelab terbarunya mengikut laporan SNE Sports.
Pengurusan Trat membawa masuk beliau sebagai peledak baru pasukan selepas memilih berpisah dengan seorang lagi penyerang Brazil, Evandro Paulista.
Paulista menyumbat empat gol untuk pasukan itu dalam 13 perlawanan. Pulangan itu tidak mencukupi lebih-lebih lagi Trat berada dalam zon penyingkiran Thai League 1 dengan 16 mata.
Justeru, Caion dibawa masuk dengan harapan dapat membantu Trat mendaki liga apabila saingan liga bersambung semula pada bulan hadapan.
Ini kali kedua bekas penyerang Selangor itu berkelana dalam liga Thailand. Sebelum ini, Caion pernah beraksi untuk Navy FC, PT Prachuap FC, Chonburi FC, Suphanburi FC dan Muangkan United.
Selain Selangor, penyerang Brazil itu pernah memperkuatkan KL City FC pada awal musim 2023 sebelum menerima tawaran Hanoi FC.