Walaupun pasukan Negeri Sembilan FC berhadapan dengan kekangan kewangan, pemain pertahanan kental mereka, Herold Goulon tetap mahu para pemain berjuang demi pasukan itu semampu yang boleh.
Dalam masa yang sama, Goulon akui kecewa dengan keputusan bekas rakan sepasukannya, Safuwan Baharudin yang bertindak meninggalkan pasukan dan berhijrah ke Selangor FC.
“Saya kecewa. Dia (Safuwan Baharudin) seorang pemain yang bagus dan saya tak tahu adakah kami dapat mencari pengganti beliau atau tidak. Ianya satu perkara yang kurang baik tapi baik bagi beliau asalkan beliau gembira.
“Kita ada sedikit kekangan kewangan tahun ini. Kita tidak boleh mengeluh, kami kena terus berjuang,” luah Herold Goulon dalam satu sesi temubual selepas tamat perlawanan.
Dengan tiada pemain baharu yang akan masuk pada jendela perpindahan kedua ini, Negeri Sembilan akan menggunakan pemain sedia ada sehingga tamat musim ini. Negeri Sembilan kini berada di tangga kesembilan Liga Super dengan mengumpul 20 mata daripada 17 perlawanan yang diharungi.
Untuk aksi Liga Super yang seterusnya, mereka bakal berdepan satu lagi tugas sukar dengan menentang Terengganu FC di laman lawan pada 28 Julai.