Skuad hoki junior Malaysia memberi tentangan habis-habisan kepada New Zealand sebelum tunduk 3-2 dalam aksi pertama Kumpulan B Piala Sultan Johor.
Malaysia selaku tuan rumah kejohanan berharap dapat membuka kempen Piala Sultan Johor dengan langkah kanan.
Sementara New Zealand pula mahu melakar pencapaian lebih baik selepas kali terakhir muncul dalam kejohanan untuk edisi 2019.
New Zealand mendahului seawal minit keenam menerusi pukulan sudut penalti Luke Aldred.
Bagaimanapun, keceriaan mereka tidak bertahan lama apabila Malaysia menyamakan kedudukan menerusi penalti stroke kapten, Faris Harizan pada minit ketujuh.
Scott Costlett kembali meletakkan New Zealand di hadapan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-15.
Faris memastikan kedudukan kedua-dua pasukan terikat 2-2 semasa rehat dengan menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-24.
Bersambung selepas rehat, New Zealand mendapat gol kemenangan menerusi gol padang James Hickson pada minit ke-33.
Skuad junior yang dibimbing bekas pemain kebangsaan Muhammad Amin Rahim berusaha memburu gol penyamaan buat kali ketiga.
Malangnya, kualiti penyudah skuad negara mengakibatkan setiap percubaan sama ada tersasar atau dinafikan penjaga gol New Zealand, Hayden Ganley.
Keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini membolehkan New Zealand menjadi pendahulu Kumpulan B dengan tiga mata di hadapan India.
Ini merupakan kekalahan ketujuh negara di tangan New Zealand dalam 15 rekod pertemuan sebelumnya. Malaysia kini berada di tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata selepas satu perlawanan.