Hong Kong Bedil Brunei 10-0

Brunei Hong Kong ASEAN Football Hong Kong Bedil Brunei 10-0
ASEAN Football
Azim Noor @mohdazim45
10:55pm 11/09/2023

Skuad senior Brunei mengalami nasib sama seperti skuad B-23 mereka selepas tumbang 10-0 kepada Hong Kong dalam aksi persahabatan antarabangsa hari ini.

Selepas tunduk 3-1 kepada Sabah dalam aksi persahabatan pada 6 Mac lalu, Sang Tebuan berharap dapat melakar keputusan lebih baik menentang The Dragons.

Malangnya, apa yang diingini jurulatih Mario Rivera tidak berlaku. Babak pertama menyaksikan gawang penjaga gol Brunei, Haimie Abdullah Nyaring dibolosi Everton Camargo (minit ke-12), Tan Chun Lok (minit ke-20) dan Helio de Souza (minit ke-41).

Bersambung pada babak kedua, Brunei terus longlai tatkala anak-anak buah Jorn Andersen ghairah memburu gol.

Dalam tempoh 10 minit, The Dragons menambah tiga gol lagi menerusi Fernando, Wong Wai dan Everton Camargo.

Pemain tengah berpengalaman, Chan Siu Kwan dan penyerang muda Kitchee, Poon Pui Hin masing-masing meledakkan dua gol bagi melengkapkan malam gemilang di Stadium Hong Kong.

Kemenangan besar ini bakal beri keyakinan kepada The Dragons bila mendepani Bhutan dalam aksi timbal balik pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Dua perlawanan ini akan diadakan pada 12 dan 17 Oktober ini. Manakala Sang Tebuan pula berdepan tugas sukar dalam pusingan pertama kelayakan kerana bertemu dengan Indonesia pada tarikh yang sama.