Hujan lebat melanda Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menjelang aksi final Unifi Piala Malaysia musim 2024/25.
Cuaca hujan lebat sekitar Lembah Klang terutama di SNBJ berlaku empat jam sebelum perlawanan kejohanan berprestij itu berlangsung.
Ramai peminat bola sepak mengharapkan cuaca hujan lebat tidak menjejaskan kualiti padang SNBJ menjelang pertembungan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC.
Ini ditambah dengan jaminan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Iliyas Jamil bahawa stadium itu sudah bersedia menganjurkan aksi berintensiti tinggi.
“Kita sentiasa bersedia. Kalau lihat keadaan padang, kita sudah bersedia untuk final Piala Malaysia, lepas itu (aksi persahabatan Manchester United) dan perlawanan menentang Vietnam,” katanya baru-baru ini.
Keadaan cuaca dilihat tidak menghalang penyokong kedua-dua pasukan untuk tampil memberi sokongan di SNBJ.
JDT hadir dengan misi melengkapkan satu lagi trofi untuk pencapaian cemerlang musim 2024/25.
Sri Pahang pula hadir dengan misi mengakhiri kemarau trofi termasuk Piala Malaysia buat kali pertama sejak tahun 2014.