Jurulatih skuad kebangsaan Jordan, Hussein Ammouta percaya Jordan mampu memenangi Piala Asia edisi seterusnya.
Pasukan yang diberi jolokan Al-Nashama itu telah mencipta banyak kejutan sepanjang Piala Asia 2023.
Ini termasuk kejayaan menyingkirkan pasukan yang memiliki ranking lebih tinggi seperti Iraq di pusingan 16 terbaik dan Korea Selatan (separuh akhir).
Bagaimanapun, hajat mereka meraih kejuaraan Piala Asia tersekat apabila ditewaskan juara bertahan, Qatar 3-1 dalam aksi final yang berlangsung semalam.
Meskipun tewas, kejayaan Jordan layak ke final membuka mata ramai pihak tentang potensi yang dimiliki pasukan itu di pentas antarabangsa.
Selagi mana Al-Nashama menunjukkan penambahbaikan dari segi fizikal dan teknikal yang berterusan, jurulatih kelahiran Maghribi percaya barisan anak buahnya mampu mengekalkan kecemerlangan mereka selepas ini.
“Saya mahu mengucapkan tahniah kepada para pemain. Mereka telah mendapat keyakinan dan membuka peluang untuk masa hadapan.
“Mungkin kita (Jordan) boleh menang Piala Asia untuk edisi akan datang. Kita menunjukkan prestasi yang bagus tetapi kita juga perlu mewujudkan keadaan yang membolehkan tahap ini dapat dikekalkan dan ditambahbaik.
“Kita perlu menambahbaik kemahiran (teknikal) pemain dan keadaan fizikal mereka juga,” katanya selepas perlawanan final semalam seperti yang dilaporkan The Gulf Times.
Piala Asia 2023 memberi kenangan manis buat Jordan dengan ini kali pertama mereka layak ke final.