Advertisement
Impak Cristiano Ronaldo Pacu Al-Nassr Kekang PSG
Asia
MakanBola
Al-Nassr

Kelab Cristiano Ronaldo, Al-Nassr bekerja keras sebelum berjaya mengikat kelab gergasi Perancis, PSG tanpa jaringan di Stadium Nagai, Osaka, Jepun hari ini.

Babak pertama menyaksikan tidak banyak peluang dicipta oleh kedua-dua pasukan. Peluang terbaik Al-Nassr hadir menerusi Ronaldo tetapi percubaannya dinafikan penjaga gol Itali, Gianluigi Donnaruma.

Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan mula rancak merencana serangan. Ronaldo beberapa kali mencabar Donnaruma tetapi semua usahanya tidak berhasil.

Bimbang dengan kemungkinan Les Parisien tumbang di tangan kelab Asia seperti dialami Celtic seminggu lalu, jurulatih PSG, Luis Enrique memasukkan beberapa pemain utama sebagai pemain gantian.

Ini termasuklah kapten Marquinhos, pemain tengah baru PSG, Manuel Ugarte dan adik Kylian Mbappe, Ethan Mbappe.

Malangnya, siri pertukaran yang dibuat Enrique gagal membantu jentera serangan Les Parisien menembusi gawang Al-Nassr yang dikawal Nawaf Al-Aqidi.

Sebaliknya, Al-Alami beberapa kali melancarkan serangan ke arah kubu pertahanan PSG. Bagaimanapun, penyudah tumpul memastikan perlawanan berakhir dengan seri tanpa jaringan.

Selepas ini, Al-Nassr bakal berdepan Inter Milan untuk aksi terakhir pra-musim pada 27 Julai. Setelah itu, musim mereka akan dimulakan dengan kempen kumpulan Piala Arab di mana Al-Alami menentang Al-Shabab dua hari selepas itu.