Import Baharu Selangor Tak Sabar Uji Kekuatan Sebenar JDT

Boakye Selangor 1 Import Baharu Selangor Tak Sabar Uji Kekuatan Sebenar JDT
Selangor FC
Nik Faris @nikfalovic
7:44pm 01/07/2023

Pemain import baharu Selangor FC, Richmond Boakye-Yiadom teruja untuk bertemu dengan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bintang berusia 30 tahun ini merupakan pemain import baharu yang dibawa masuk bagi memantapkan lagi jentera serangan The Red Giants bagi baki saingan musim ini.

Bekas bintang Juventus ini menyatakan rasa gembira apabila dapat menyertai Selangor selepas sekian lama berkelana di luar negara.

Beliau juga sudah pun mula menjalani sesi latihan pertamanya bersama pasukan mengakui masih berada dalam proses menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan.

Dalam satu temubual ketika sesi latihan Selangor hari ini, pemain kelahiran Ghana menyimpan hasrat untuk berdepan dengan JDT.

Boakye-yiadom yakin pasukannya mampu melakukan tugas dengan lebih baik namun dihukum dengan kesilapan yang memberi kelebihan kepada lawan.

“Saya mahu bertemu dengan pasukan yang menewaskan kita 4-0 (JDT). Saya melihat kita melakukan satu dua kesilapan namun pada separuh masa kedua kita bermain dengan baik.”

“Saya suka beraksi menentang pasukan seperti ini. Apabila kamu menjaringkan gol dan menewaskan mereka, kamu akan pulang dengan penuh kepuasan dan perasaan yang amat baik,” jelasnya dalam sesi latihan kepada Harimau Malaya.

Pemain bertubuh sasa ini memiliki rekod jaringan yang cukup baik terutamanya ketika mewakili kelab Serbia, Red Star Belgrade apabila merekodkan 43 gol dan 11 bantuan gol dalam 63 penampilan.

Kecemerlangan beliau sudah pasti ditagih bagi memantapkan jentera serangan pasukan dan membentuk gandingan berbisa bersama Ayron Del Valle.