Indonesia Akan Hantar Surat Bantahan Rasmi Kepada AFC
MakanBola
Timnas Indonesia

Indonesia bakal membuat bantahan secara rasmi kepada pihak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berhubung isu pengadil ketika aksi bertemu Bahrain pada awal pagi Jumaat.

Skuad kendalian Shin Tae-yong terbang ke Riffa bagi aksi ketiga peringkat kumpulan C Kelayakan Piala Dunia 2026 bertemu Bahrain setelah berjaya mengikat Arab Saudi dan Australia.

Namun, perlawanan tersebut dicemari keputusan kontroversi oleh pengadil, Ahmed Al-Kaf yang seakan memberi peluang buat Bahrain melakukan serangan meskipun masa tambahan sebenar sudah tamat.

Tindakan Ahmed Al-Kaf itu menyebabkan Jasim Marhoon menyamakan kedudukan buat Bahrain ketika situasi sepakan sudut pada minit ke-99 dan membuatkan Indonesia kecewa gagal meraih tiga mata.

PSSI menerusi salah seorang Exconya, Arya Sinulingga mengesahkan akan menghantar surat bantahan kepada AFC berhubung kepimpinan pengadil.

“Ya, kami akan hantar surat bantahan,” kata Arya Sinulingga seperti dilaporkan MakanBola Indonesia.

Dalam aksi tersebut, 2 jaringan Sang Garuda disumbangkan oleh Ragnar Oratmangoen dan Rafael Struick sementara Jasim Marhoon muncul wira Bahrain dengan dua gol juga.

Selepas ini, Indonesia bakal berangkat ke Qingdao untuk aksi berdepan China pada 15 Oktober hadapan manakala Bahrain pula akan menentang Arab Saudi di Jeddah sehari kemudian.