Skuad B-17 Indonesia bakal diperkuatkan dengan seorang pemain naturalisasi Brazil menjelang kempen Piala Dunia B-17.
Ini selepas pemain Sao Paulo, Welber Jardim kini sah memiliki pasport Indonesia. Perkara ini disahkan oleh jurulatih skuad B-17 Indonesia, Bima Sakti dalam akaun Instagramnya dua hari lalu.
“Alhamdulillah, untuk Indonesia. Terima kasih pemerintah, PSSI, dan Kedutaan Besar Republik Indonesia di Brazil,” katanya ringkas.
Welber merupakan anak kepada bekas awang import Brazil, Elisangelo Jardim de Jesus atau Jardim. Jardim pernah beraksi untuk dua kelab Indonesia, Persekaba Badung dan Persiba Balikpapan.
Sementara ibunya, Lielyana Halim pula merupakan warga Indonesia yang berasal dari Banjarmasin.
Beliau sebelum ini sudah mengikut latihan pusat pasukan itu pada Ogos lalu. Dan Bima mendedahkan Welber bakal menyertai skuad B-17 untuk kem latihan pusat di Jerman pada 17 September ini.
Ketua Umum PSSI, Erick Thohir sebelum ini telah berikrar akan memastikan pemain itu dapat beraksi dalam Piala Dunia B-17 untuk Indonesia.
“Welberlieskott de Halim Jardim, diaspora muda Indonesia yang bermain di Sao Paolo, Brasil, akan bergabung dengan Timnas Indonesia U-17 dan berlaga di Piala Dunia U-17 2023. Selamat bergabung Garuda Muda!” katanya di Instagram.
Piala Dunia B-17 2023 bakal berlangsung di Indonesia dari 10 November hingga 2 Disember 2023.