Skuad kebangsaan Indonesia mencipta kejutan dalam pusingan ketiga Piala Dunia menentang Arab Saudi selepas berjaya mengikat tuan rumah, Arab Saudi.
Kedua-dua pasukan menurunkan skuad terkuat dengan Shin Tae-yong membariskan buat pertama kalinya, Maarten Paes sebagai benteng terakhir pasukan. Manakala Arab Saudi pula menurunkan arkitek berpengalaman Salem Al-Dawsari bagi mengawal permainan dari bahagian tengah.
Arab Saudi memulakan perlawanan dengan penguasaan bola yang baik dengan memaksa Indonesia bertahan.
Namun Indonesia tidak perlu menunggu terlalu lama untuk berada di hadapan apabila Ragnar Oratmangoen berjaya meletakkan Indonesia di hadapan pada minit ke-19 melalui rembatan deras kaki kirinya yang mengelirukan penjaga gol Arab Saudi. Indonesia di hadapan 1-0.
Tersentak dengan jaringan itu, Arab Saudi menggandakan asakan bagi mencari jaringan penyamaan dengan beberapa serangan dilancarkan.
Indonesia hampir menambah jaringan pada minit ke-34 melalui Witan Sulaeman namun percubaannya di dalam kotak penalti mudah ditangkap Mohammed Alowais di gawang Arab Saudi.
Ketika separuh masa pertama hampir ditamatkan, Arab Saudi akhirnya berjaya mendapatkan gol penyamaan menerusi ledakan pemain muda, Musab Fahz yang melepaskan rembatan dan membias mengenai pertahanan Indonesia. Situasi tersebut telah mematikan langkah penjaga gol Indonesia, Maarten Paes sekali gus mengakhiri babak pertama dengan keputusan 1-1.
Bersambung babak kedua, Arab Saudi terus menekan benteng Indonesia dengan beberapa serangan awal dilancarkan. Namun benteng Indonesia yang dijaga ketat Jay Idzes pantas mematahkan serangan.
Arab Saudi berpeluang menambah jaringan kedua selepas dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-78. Sepakan penalti itu diberikan selepas Maarten Paes dikesan telah mengasari Firas Al-Buraikan.
Salem Al-Dawsari yang mengambil sepakan penalti itu gagal menyempurnakannnya selepas Maarten Paes mempamerkan ketangkasan untuk menepis sepakan tersebut. Kedudukan kekal 1-1.
Biarpun Arab Saudi terus-menerus menyerang namun tiada tambahan jaringan dapat dihasilkan sekali gus menamatkan perlawanan dengan keputusan seri 1-1. Satu mata berharga buat Indonesia.
Dengan satu mata yang dikutip, Indonesia kini berada di tangga ke-4 kumpulan C pusingan ketiga Kelayakan Asia bagi Piala Dunia. Jepun berada di tangga teratas kumpulan selepas membelasah China 7-0.