Skuad bola sepak wanita Indonesia mencipta kejutan dengan menumbangkan pasukan yang menduduki ranking ke-86 dunia, Bahrain dalam aksi persahabatan semalam.
Perlawanan yang berlangsung semalam merupakan sebahagian daripada dua aksi persahabatan menentang Bahrain yang diatur Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) seperti yang dilaporkan oleh ASEAN Football.
Meskipun menduduki ranking ke-109 dunia, Garuda Pertiwi yang dibimbing Satoru Mochizuki menunjukkan aksi garang bila berdepan pasukan dari Asia Barat itu.
Sebaik perlawanan bermula, kapten pasukan, Shafira Ika membuka tirai jaringan buat pasukan itu seawal minit keempat.
Tersentak, The Reds cuba bangkit untuk mendapatkan gol penyamaan tetapi hal itu tidak berlaku. Sebaliknya, Octavianti Dwi menggandakan kelebihan tuan rumah pada minit ke-26.
Penyerang Indonesia berdarah Jerman, Claudia Scheunemann terus mengukuhkan kedudukan Garuda Pertiwi dengan gol ketiga pada minit ke-43. Keputusan 3-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Bahrain terus memberi tekanan kepada Indonesia untuk mendapatkan gol penyamaan.
Malangnya, penjaga gol Indonesia, Prihatini terus kental menafikan percubaan demi percubaan yang dilakukan The Reds.
Gawang Indonesia akhirnya bocor pada minit ke-63 menerusi Lilya Sabkar. 15 minit kemudian, giliran Rahan Al-Ali merapatkan jurang buat Bahrain.
Bahrain terus memberi tekanan kepada Indonesia untuk mendapatkan gol penyamaan tetapi keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
Kedua-dua pasukan bakal bertemu lagi buat kali kedua pada 11 Jun di Stadium Al-Ahli, Manama, Bahrain.