Indonesia merekodkan kemenangan pertama untuk Patrick Kluivert apabila menewaskan Bahrain dalam aksi terbaru kelayakan Piala Dunia 2026.
Kedua-dua pasukan mahu bangkit selepas tewas dalam aksi sebelumnya. Bahrain tumbang di tangan Jepun dengan Indonesia dibelasah Australia.
Kluivert memilih Justin Hubner sebagai pengganti Mees Hilgers. Pengendali Al-Ahmar, Dragan Talajic mengekalkan Mahdi Abduljabbar untuk mengetuai jentera serangan pasukan Asia Barat itu.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari gol awal di Stadium Gelora Bung Karno.
Pemain tengah Almere City, Thom Haye hampir meletakkan Tim Garuda di hadapan pada minit ke-13. Malangnya, percubaan beliau dinafikan penjaga gol Bahrain, Ebrahim Lutfallah.
10 minit kemudian, giliran Ali Madan mencuba buat Al-Ahmar. Percubaan beliau dari luar kotak penalti langsung tidak menggugat penjaga gol Indonesia, Maarten Paes.
Indonesia akhirnya di hadapan menerusi penyerang Oxford United, Ole Romeny seminit selepas itu. Romeny menyudahkan hantaran Marselo Ferdinan untuk gol keduanya bersama Tim Garuda.
Tersentak, Bahrain berusaha mencari jaringan penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Bahrain hampir menyamakan kedudukan menerusi Sayed Dhiya pada minit ke-57. Percubaan deras beliau berjaya dinafikan Paes.
Situasi ini mendorong Kluivert membuat pertukaran taktikal dengan memasukkan Ivar Jenner menggantikan Haye dua minit selepas itu.
Romeny hampir menggegar jaring Al-Ahmar buat kali kedua pada minit ke-62 selepas melepasi pertahanan pelawat. Malangnya, percubaan beliau disekat Ebrahim sebelum menerjah jaring.
Bahrain terus berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Indonesia hanya dipisahkan satu mata dengan Arab Saudi yang menduduki tempat ketiga Kumpulan C. Bahrain pula di tangga kelima kumpulan dengan enam mata.
Meskipun tewas, Sayed Dhiya dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 7.7. Beliau mengatasi Ricky Kambuaya yang meraih 7.2 mata.
Selepas ini, Indonesia dan Bahrain masing-masing akan menentang China dan Arab Saudi untuk aksi kelayakan seterusnya pada 6 Jun ini.