Skuad Indonesia Bawah 19 Tahun (B-19) mencerahkan peluang layak ke separuh akhir Kejuaraan ASEAN B-19 2024 apabila menundukkan Kemboja dalam aksi kedua Kumpulan A.
Garuda Muda sedar mereka perlu menang sekiranya ingin layak ke separuh akhir sebagai juara Kumpulan A. Sementara The Angkor Warriors juga perlu menang selepas tewas kepada Timor Leste dalam aksi pertama kumpulan.
Sebaik perlawanan bermula, Indonesia yang dibimbing Indra Sjafri berusaha mencari gol pembukaan di Stadium Gelora Bung Tomo, Surabaya.
Kemboja hampir mencipta kejutan mendahului pada minit ketujuh menerusi Sorm Borith. Malangnya, percubaan jarak jauhnya gagal menggugat penjaga gol Indonesia, Ikram Algiffari.
Garuda Muda kerap mencipta serangan ke atas Kemboja tetapi tidak berhasil. Ini kerana The Angkor Warriors memilih berkubu dalam kotak penalti dan melancarkan serangan balas sekiranya perlu.
Keadaan ini memaksa Indra memasukkan Welber Jardim menggantikan Figo Dennis pada minit ke-34 untuk menggandakan serangan.
Ketumpulan jentera serangan kedua-dua pasukan memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Garuda Muda terus menggandakan serangan untuk memecah kebuntuan dalam perlawanan tersebut.
Meskipun menerima sokongan padu penyokong di Gelora Bung Tomo, Indonesia terus bergelut menembusi barisan pertahanan The Angkor Warriors diketuai Bong Samuel.
Gol yang dicari-cari Garuda Muda akhirnya muncul pada minit ke-71. Kadek Arel menanduk masuk bola yang menewaskan penjaga gol Kemboja, Mat Lany.
Tersentak, Kemboja yang dibimbing Phea Sopheaktra berusaha mengubah momentum perlawanan dengan membuat beberapa pertukaran pemain.
Malangnya, itu tidak berlaku. Sebaliknya, Indonesia menggandakan kelebihan mereka menerusi pemain pertahanan muda, Muhammad Iqbal Gwijangge pada minit ke-86.
Gol tersebut memastikan Indonesia kekal menerajui Kumpulan A dengan enam mata. Sementara Kemboja tersingkir selepas tidak mengutip kemenangan dalam dua perlawanan kumpulan.
Garuda Muda boleh mengesahkan kemaraan sebagai juara kumpulan dengan syarat menewaskan Timor Leste pada 23 Julai. Sementara Kemboja boleh menutup kempen dengan kemenangan bila turun menentang Filipina pada hari yang sama.