Indonesia terlepas peluang bergelar juara Piala Asia Futsal 2026 apabila tewas kepada Iran menerusi penentuan sepakan penalti di pentas final.
Selepas meraih slot final dengan menewaskan Jepun 5-3, anak buah Hector Souto berharap dapat mengulangi kejutan sama ke atas Iran. Iran pula turun dengan misi mengekalkan kejuaraan yang diraih pada edisi 2024.
Ahmad Habiebie kekal mengemudi gawang Indonesia. Hossein Tayebi terus menjadi sandaran gol Iran bersesuaian dengan status sebagai penjaring terbanyak pasukan itu.
Iran terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Tayebi pada minit ketiga. Reza Gunawan kembali menceriakan penyokong Indonesia dengan gol penyamaan empat minit selepas itu.
Penyerang muda Bintang Timur Surabaya, Israr Megantara meletakkan tuan rumah di hadapan menerusi dua gol pada minit kelapan dan kesembilan.
Iran menyangka mereka telah merapatkan jurang menerusi Saed Ahmad Abbasi pada minit ke-16. Walau bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan selepas bola dikesan berada di luar garisan gelanggang.
Jaguh Asia itu makin terdesak apabila penalti Salar Aghapour dinafikan Habiebie pada minit sama. Gol kedua Iran akhirnya hadir dua minit kemudian menerusi Mahdi Karimi.
Kedua-dua pasukan berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 3-2 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Iran mula memberi tekanan untuk mendapatkan gol penyamaan.
Ahmad Abbasi memastikan kedua-dua pasukan terikat 3-3 dengan gol pada minit ke-23. Keceriaan kem Iran hanya bertahan selama seminit.
Bintang Indonesia, Samuel Eko kembali menceriakan penyokong dengan gol yang menewaskan penjaga gol Iran, Bagher Mohammadi.
Iran yang terdesak menggunakan taktik power play untuk memburu gol penyamaan. Hasilnya, Karimi menyumbat gol penyamaan pada minit ke-37.
Iran berusaha mencari jaringan kemenangan tetapi keputusan 4-4 kekal sehingga tamat perlawanan. Ini memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.
Israr kembali meletakkan Indonesia di hadapan pada minit ke-48. Ahmad Abbasi memastikan perlawanan diheret ke penentuan penalti menerusi gol penyamaan pada minit sama.
Iran memastikan trofi yang dimenangi pada edisi 2024 kekal dalam genggaman dengan meraih kemenangan 5-4 menerusi penentuan penalti.